KUALA LUMPUR: Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 yang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang, Padang Kota, Pulau Pinang dari 13 hingga 22 Mei ini dijangka menarik kunjungan 200,000 pelawat secara fizikal dan juga dalam talian.

Pengarah Muzium Tekstil Negara yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024, Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman berkata pelbagai pengisian telah diatur yang menyediakan kelainan untuk memberi impak tinggi kepada pengunjung.

"(Sambutan) Di peringkat kebangsaan kali ini, Pulau Pinang menjadi tuan rumah... kita menerapkan penggiliran pameran, dan festival ini menyaksikan penyertaan 38 agensi, institusi dan muzium yang akan berkampung di Dewan Sri Pinang," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV.

Banyak program diatur sepanjang festival selama 12 hari itu, antaranya acara sukan di Padang Kota, sukan pantai di Batu Feringghi di samping pameran dan program-program yang dapat membantu pengunjung termasuk kanak-kanak dari segi pencambahan ilmu dan idea-idea baharu.

Makluman dan informasi lanjut berkenaan Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 boleh diperoleh dengan melayari Facebook dan Instagram rasmi Jabatan Muzium Malaysia.

Hari Muzium Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun berdasarkan resolusi International Council of Museums (ICOM) sejak 1977. - BERNAMA